“Pada Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan padanya al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)…” (Surah al-Baqarah: 185)
Al-Quran kitab suci kalam Allah, ilmu dan kebijaksanaan-Nya, serta adil yang tiada bandingan dan tandingan.
Firman Allah SWT:
إِنَّآ أَنزَلۡنَٰهُ فِي لَيۡلَةٖ مُّبَٰرَكَةٍۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِين٣
“Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kamilah yang memberikan peringatan.” (Surah al-Dukhan: 3)
Firman Allah SWT:
إِنَّآ أَنزَلۡنَٰهُ فِي لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ١ وَمَآ أَدۡرَىٰكَ مَا لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ٢ لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٞ مِّنۡ٣ أَلۡفِ شَهۡرٖ تَنَزَّلُ ٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ بِإِذۡنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمۡرٖ٤ سَلَٰمٌ هِيَ حَتَّىٰ مَطۡلَعِ ٱلۡفَجۡرِ٥
“Sesungguhnya, Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadar. (1) Dan tahukah kamu, apakah itu malam al-Qadar itu? (2) Malam al-Qadar itu lebih baik daripada 1000 bulan. (3) Pada malam itu malaikat-malaikat dan malaikat Jibril turun dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. (4) Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar. (5)” (Surah al-Qadr: 1-5)
Para ulama’ tafsir menyatakan bahawa al-Quran diturunkan dari Loh Mahfuz ke langit dunia terlebih dahulu. Kemudiannya, diturunkan oleh Malaikat Jibril AS secara berperingkat dalam beberapa ayat selama 23 tahun di Makkah (Marhalah Makkiyyah), seterusnya di Madinah (Marhalah Madaniyyah). Bahkan, juga dinyatakan bahawa wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW berlaku dalam bulan Ramadan pada malam al-Qadar yang besar fadilatnya.Perkara yang terpenting bagi penganut Islam ialah beriman bahawa al-Quran itu tiada keraguan sedikit pun akan kebenarannya dan menjadi petunjuk kepada seluruh manusia. Walaupun hanya mereka yang beriman dan bertaqwa sahaja menerimanya, namun hakikatnya tidak boleh dinafikan.
Firman Allah SWT:
الٓمٓ١ ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ٢
“Alif lam mim. (1) Kitab (al-Quran) ini tiada keraguan padanya; menjadi petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. (2)”
(Surah al-Baqarah: 1-2)
Semua perkara yang telah berlaku di alam dunia pada zaman dahulu, kini dan akan datang menepati kebenarannya.Berkenaan kejadian alam bumi dan langit yang nyata dapat dilihat, segala hukum-hakamnya benar, adil dan membawa rahmat kepada seluruh alam. Maka, perkara yang ghaib dan peristiwa akan datang pada Hari Kiamat sudah pasti semuanya benar.Oleh itu, al-Quran ialah petunjuk yang betul dan benar.
Firman Allah SWT:
إِنَّ هَٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ يَهۡدِي لِلَّتِي هِيَ أَقۡوَمُ٩
“Sesungguhnya, al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus (betul).”
(Surah al-Isra’: 9)
Al-Quran ialah kitab suci petunjuk Allah SWT daripada kalam-Nya (kata-kata-Nya) dan ilmu-Nya yang menjadi sifat yang wajib diimani. Malah, al-Quran juga menerangkan dengan sempurna semua urusan manusia, bermula daripada iman (kepercayaan) kepada Allah yang Maha Esa dan rukun-rukun iman yang lain.
Bagaimanapun kitab suci ini bukan sahaja digalakkan untuk menghafaznya, malahan setiap Muslim dituntut agar memahami maksud kalimah al-Quran yang dibaca serta mentadabbur ayat-ayatnya. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menggalakkan manusia agar memahami, menyelidiki, memerhati serta mentadabbur, antaranya ialah sepotong ayat yang bermaksud:
“Inilah sebuah kitab yang kami turunkan kepada kamu dengan penuh berkat supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya (tadabbur) dan supaya orang yang mempunyai akal fikiran mengambil pelajaran daripadanya.” (Surah Sad, ayat 29)
Al-Quran ialah kurniaan Allah SWT kepada manusia yang penuh kebaikan.Oleh itu, kita wajib bersyukur menerimanya dengan beriman dan beramal soleh dalam perkara dunia yang menjadi jambatan ke akhirat kelak dan mencapai redha Allah dan juga SyurgaNya.
Dapatkan al-Quran A6 Zayyan keluaran terbaharu eNuur sekarang :https://enuur.com/product/a6-zayyan-enuur/