Tadabbur merupakan tujuan penurunan Al-Qur’an itu sendiri, iaitu untuk diambil iktibar daripadanya dan seterusnya diamalkan. Adapun tafsir sebagai satu ilmu untuk mengetahui makna ayat-ayat Al-Qur’an, ia merupakan wasilah untuk mencapai maqasid penurunan Al-Qur’an itu sendiri:
كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya: (Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.Tadabbur wajib ke atas setiap Muslim.Al-quran bukan hanya sekadar dibaca sahaja, tetapi perlulah juga difahami..Semua yang terkandung dalam Al-quran merupakan petunjuk sekiranya difahami dengan betul.
Sirah turut melakarkan pengislaman Saidina Umar al-Khattab RA berlaku apabila beliau terkesan dengan bacaan Al-Quran oleh adiknya yang membaca ayat Al-Quran daripada Surah Taha. Beliau terdiam daripada kemarahan dan terus mencari Rasulullah SAW untuk menyatakan keislamannya di hadapan Baginda SAW. Begitu ajaib saat Al-Quran berinteraksi dan menyentuh jiwa kita. Apabila jiwa manusia tunduk dengan kebenaran Al-Quran,kita akan merasai kebahagian dan ketenangan dalam hidup. Para sahabat Nabi Muhammad SAW turut melalui proses didikan madrasah Al-Quran ini yang berdasarkan iman dan pembentukan akhlak mereka sehingga menjadi insan yang mulia. Kalam Allah membentuk mereka sebagai seorang manusia yang mulia dan mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah SWT.
Amalan tadabbur seharusnya dibudayakan dalam kehidupan kita.Seruan membaca, berfikir dan mengkaji sudah ditetapkan dalam Islam sendiri. Membaca satu ayat dengan memahaminya dan menambah keimanan kita, sekaligus dapat memberi kemanisan kepada pembaca Al-Quran. Memahami Al-Quran jauh lebih baik serta lebih bermanfaat daripada membaca seluruh ayat sehingga khatam tanpa menghayati dan memahaminya. Menerusi tadabbur Al-Quran ini, mampu mengeluarkan umat Islam daripada kemunduran, kejahilan ilmu atau terjerumus kepada kehancuran akhlak.
Di samping itu, penelitian dan tadabbur terhadap ayat-ayat suci Al-Quran akan menginsafkan tentang betapa kerdilnya kita sebagai manusia dan betapa Agung-Nya Allah SAW yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.Hati yang serta merta tunduk mentaati Allah hasil tadabbur akan menambahkan iman dan penghayatan amalan.InsyaAllah
Tonton mudahnya khatam bersama enuur setiap hari jam 10:30am